Wednesday, April 14, 2010

SASAR JADI LIMA TERBAIK

Sasar jadi lima terbaik

 

 

KUALA LUMPUR 11 April – Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) milik Kumpulan DRB-HICOM Bhd., mahu lebih agresif dan menyasarkan penguasaan kedudukan yang lebih baik.
‘‘Insya-Allah, kami akan beralih ke tangga lima teratas daripada segi pulangan ke atas ekuiti dalam masa dua tahun lagi,’’ kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid di sini.
Mohd. Redza dalam temu bual dengan Utusan Malaysia berkata: ‘Bank itu kini berada di tangga ke 13 daripada 17 buah bank Islam di negara ini berbanding sebelumnya di 15 dan 16.’’
Bank Muamalat merupakan sebuah daripada dua bank Islam terawal di Malaysia selepas Bank Islam Malaysia Bhd. dan mendapat kelulusan untuk mengendalikan operasi penuh (full-fledged).
Mohd. Redza berkata, Bank Muamalat mahu menjadi penyedia perkhidmatan Islam yang terpilih di negara ini dengan menawarkan nilai terbaik kepada pemegang kepentingannya.
Beliau menegaskan, operasi yang dikendalikan bank berkenaan adalah benar-benar berlandaskan Syariah.
Mohd. Redza mengakui bank itu tidak begitu menonjol sebelum ini berbanding dengan para pesaing lain kerana ‘‘kami berpegang kepada prinsip ‘buat dahulu baru bercakap’’’.
Beliau berkata, jangkaan kedudukan lebih baik dalam industri mampu dicapai melalui transformasi yang sedang berjalan termasuk n langkah mantapkan lagi hubungan kakitangan dengan pihak pengurusan.
‘‘Kami berada dalam proses peralihan. secara jujur saya katakan proses itu sangat menyakitkan dan ia akan berterusan sehingga kami mencapai fasa terakhir pelan perniagaan kami,’’ tambah beliau.
Bank Muamalat mula beroperasi pada Oktober 1999 dan lahir daripada penggabungan antara Bank Bumiputra Malaysia Bhd., Bank of Commerce (M) Bhd. dan BBMB Kewangan Bhd. sebelum DRB-HICOM muncul sebagai pemegang saham utama sejak Oktober 2008.
Beliau menjelaskan, Bank Muamalat kini dalam fasa kedua pelaksanaan pelan perniagaan lima tahun yang diadakan pada Disember 2008 dan dikuatkuasakan pada 2009.
Katanya, pelan itu mempunyai tiga fasa iaitu menyusun semula operasi organisasi termasuk imbangan kira-kira, mencapai penanda aras dan menjadi yang terbaik.
Mohd. Redza berkata, di bawah fasa kedua iaitu dalam tiga tahun pertama pelan itu, Bank Muamalat bakal muncul sebagai sebuah bank Islam universal.
Di bawah fasa ketiga iaitu pada tahun ketiga dan kelima, Bank Muamalat disasarkan menjadi bank universal Islam mid-tier yang menjalankan perniagaan konsumer dan juga pemborongan dengan turut meraih sinergi daripada operasi DRB-HICOM dan syarikat-syarikat milik tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Mohd. Redza berkata, pelan perniagaan itu telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila Bank Muamalat mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM119 juga bagi tahun kewangan 31 Disember 2009.
‘‘Ini merupakan pencapaian tertinggi berbanding pada tahun 2008 yang mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM40 juta,’’ kata beliau yang menjangkakan pencapaian itu akan dikekalkan pada masa depan.
Beliau juga berkata, bank berkenaan yang mempunyai aset sebanyak RM12 bilion, merancang melakukan penjenamaan secara besar-besaran dalam fasa terakhir pelan perniagaannya.
Mohd. Redza berkata, Bank Muamalat tidak mempunyai masalah dengan pinjaman tidak berbayar kerana keadaan keseluruhannya adalah terkawal dan disasar berada pada purata industri sekitar 2.8 peratus dalam tempoh dua tahun lagi.
‘‘Kami berazam mengurangkannya di bawah tiga peratus selepas mencatat 3.3 peratus pada tahun lalu dan 4.3 peratus pada tahun 2008,’’ kata beliau.
Ditanya sama ada, bank berkenaan akan menerokai pasaran luar negara, Mohd. Redza berkata, pihaknya tidak berhasrat berbuat demikian dalam tempoh terdekat tetapi tidak menolak kemungkinan mengkajinya semula pada akhir tempoh pelan perniagaannya.
Sambil menyatakan tidak mahu tergesa-gesa berbuat demikian, beliau berkata, Bank Muamalat masih mempunyai ruang untuk berkembang di Malaysia meskipun terdapat saingan yang mula menerokai pasaran luar negara.
‘‘Sekiranya kami mahu berkembang ke luar negara, rantau Asia Tenggara akan menjadi pilihan kerana kami mendapati infrastruktur kewangan yang ada di Asia Barat, misalnya, tidak sekukuh di Asia,’’ kata beliau.
Mengulas lanjut Mohd. Redza berkata, selari dengan usaha peluasan dalam pasaran domestik, Bank Muamalat juga mendidik orang ramai tentang konsep perbankan Islam terutamanya tentang bahana mengamalkan riba.
Mengulas tentang pengenalan produk baru, beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, dua produk baru akan diperkenalkan tahun ini melibatkan perbankan pengguna.
Sementara itu, Mohd. Redza juga berkata, pihaknya memperuntukkan RM20 juta untuk menaiktaraf kemudahan perkhidmatan sepanjang tahun ini.
Pelaburan itu antara lain bakal melibatkan penambahan mesin juruwang automatik, menaik taraf perkhidmatan dan pembukaan cawangan bank yang baharu.
Katanya, Bank Muamalat merancang membuka dua cawangan pada tahun ini, masing-masing di Jeli, Kelantan dan Johor dengan kos pelaburan RM700,000 hingga RM1 juta sebuah.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memperkenalkan perbankan Internet yang akan beroperasi sepenuhnya akhir bulan ini.
‘’Kami dalam proses menjalankan ujian (trial run) perbankan Internet untuk memastikan perkhidmatan itu memberikan manfaat dan mempunyai tahap keselamatan yang terbaik kepada penggunanya,” katanya.
Bank Muamalat kini mempunyai asas pelanggan berjumlah 900,000 akaun termasuk bukan Islam dan lebih 27,000 kakitangan di 55 buah cawangan seluruh negara.

sumber :
www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment